Pahang diminta lebih agresif tarik FDI hartanah Print
Tuesday, 16 February 2010 22:21
KUANTAN 14 Feb. - Kerajaan Pahang diminta lebih agresif bagi menarik kemasukan pelaburan langsung asing (FDI) dalam usaha merancakkan lagi pertumbuhan sektor hartanah di negeri ini.

Pada masa sama, kerajaan negeri turut diminta mengkaji semula harga rumah yang boleh dibeli oleh warga asing di bawah program Malaysia My Second Home (MM2H) yang ketika ini dihadkan pada nilai RM500,000 dan ke atas.

Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) cawangan Pahang, Cheoh Chee Gun berkata, kemasukan lebih banyak FDI sudah pasti akan merancakkan lagi pertumbuhan sektor hartanah di negeri ini yang kini banyak bergantung kepada pembeli tempatan yang sebahagiannya memiliki hartanah sendiri.


"Sekiranya kemasukan pelabur bertambah, sudah pasti permintaan terhadap rumah kediaman juga akan meningkat sekali gus merancakkan lagi pertumbuhan sektor hartanah dan ekonomi negeri," katanya kepada Utusan malaysia baru-baru ini.

Mengenai pemilikan hartanah oleh warga asing di bawah MM2H, beliau berkata, ketika ini harga yang dikenakan itu agak tinggi menyebabkan tidak ramai warga asing khususnya di kalangan pelancong yang menyertai program itu berminat membeli hartanah di negeri ini.

Chee Gun berpendapat, kerajaan tidak perlu bimbang untuk menurunkan harga rumah yang boleh dimiliki oleh warga asing terbabit disebabkan status tanah yang kekal dimiliki oleh rakyat atau syarikat tempatan.

"Selain itu, pada satu masa kelak, warga asing terbabit pasti akan menjual rumah yang mereka beli itu kepada penduduk tempatan apabila mereka pulang ke negara asal," katanya.

Mengenai pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) di Pahang, beliau berkata, ketika ini ia masih belum memberi sebarang kesan kepada pertumbuhan sektor hartanah tempatan.

Ini kerana, katanya, kebanyakan projek di bawah ECER hanya melibatkan sektor pertanian dan dijalankan di beberapa daerah terpilih khususnya Pekan.

"Maka itu, kesan ECER terhadap sektor hartanah belum dapat kita lihat. Mungkin pada masa hadapan," katanya yang turut meminta pihak institusi kewangan 'tidak menarik brek' sebaliknya terus membantu pertumbuhan sektor hartanah tempatan dengan memudahkan pembiayaan kepada pembeli yang layak.

Mengenai unjuran sektor hartanah di Pahang tahun ini, Chee Gun menjangkakan ia akan terus berkembang pada kadar yang positif selaras dengan pemulihan ekonomi negara dan global.

Katanya, mengambil kira kejayaan Ekspo Jualan Hartanah (Mapex) yang dianjurkan sebelum ini, beliau menjangka jualan rumah pada tahun ini berkembang pada kadar antara tiga hingga lima peratus.

"Maka itu, mengambil kira sambutan baik yang diberikan, bermula pada tahun ini kita bercadang untuk menganjurkan MAPEX sebanyak tiga kali berbanding hanya dua kali sebelum ini," katanya.

Source: http://www.malaysianbar.org.my/berita/komen_undang_undang/pahang_diminta_lebih_agresif_tarik_fdi_hartanah.html



Add this page to your favorite Social Bookmarking websites